Kejadian 3 hari lepas banyak merubah diriku menjadi lebih matang dan tenang. Sejak dari hari itu, aku meluangkan masa lebih bermuhasabah diri tentang kesilapan yang aku lakukan selama ini. Sejak dari hari itu, aku lebih mudah merasa sebak mendengar lagu-lagu memuji Allah s.w.t. Sejak dari hari itu aku lebih mudah berasa ringan mendengar ceramah agama di internet ataupun mp3.


Hari itu berjalan seperti biasa selepas kisah aku memberontak terhadap seseorang di khalayak ramai menjadi berita utama. Aku akui antara tujuan utamaku ialah untuk mengaibkan dia di mata orang ramai. Aku berjaya dan berpuas hati kerana aku melakukannya dengan sebab yang begitu jelas. Diiringi alasan yang begitu rasional untuk seseorang bertindak seperti itu.

Beberapa hari kemudian, Allah mengutuskan beberapa hamba-Nya untuk memberitahuku suatu musibah. Aku masih punya kekuatan untuk senyum dan merancang untuk membalas fitnah tersebut pada ketika aku diceritakan musibah tersebut. Aku punya kekuatan membidas khianat yang dilakukan terhadap diriku. Namun, dengan kehendak-Nya, Allah memasukkan rasa lemah sedikit demi sedikit. Pada hari itu juga, aku menerima berita bahawa bondaku turut mendapat kemalangan pada hari itu. Aku merasa seperti berada dalam drama yang mana babak seorang ibu menjatuhkan pinggan secara tidak sengaja pada ketika anaknya ditimpa musibah.

Pada malam itu, buat pertama kalinya dalam hidupku selama 23 tahun, aku menghadap Allah s.w.t, aku menangis teresak-esak di hadapan-Nya, berdoa memohon pertolongan. Waktu demi waktu, Allah suntikkan perasaan lemah dalam diriku, sehingga menumpahkan air mata pada malam yang sunyi itu. Aku menangis sehingga tidak mampu berkata-kata dengan alunan normal. Sejak dari itu, aku berasa lebih tenang. Aku merasakan air mataku jatuh membersihkan segala kekeruhan di dalam jiwa dan hatiku.

Syukur Alhamdulillah, sehingga kini aku masih selamat daripada kesan fitnah tersebut. Aku diberitahu bahawa dia tidak menyalakan fitnah tersebut, namun aku juga tidak membalas kata-katanya dengan lemparan kesalahan.

Pertama kalinya, aku merendah diri memohon bantuan rohani dari para sahabat dan keluargaku. Aku membuang segala rasa ego dan rasa kuat, mengemis pertolongan dari orang-orang yang mampu aku percayai pada saat itu. Terima kasih buat ayah dan bonda, yang memberiku nasihat dan cadangan agar sentiasa menghindarkan perasaan amarah. Terima kasih buat sahabat yang banyak membantuku membina kekuatan tulus berlandaskan jalan Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang pernah kalian lakukan sebagai bayaran kepada bantuan itu.

Aku memulakan blog ini sebagai pembukaan untuk menyambut bulan Ramadhan yang bakal menjelang, insya-Allah beberapa jam lagi. Aku bersyukur kepada mu ya Allah, kekalkanlah aku seperti ini agar aku menjadi hamba-Mu yang lebih taat kepada-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah tempat kami mengharap dan tiadalah lagi yang mampu merahmati kami selain dari-Mu ya Allah.

Categories:

2 Responses so far.

  1. Zurina J. says:

    Semoga istiqomah saudaraku...:)

Leave a Reply