Ilusi yang kita lihat adakalanya datang dari apa yang kita lihat. Tapi dalam menafsirkan ilusi itu, ada yang tafsirannya datang dari syaitan dan ada tafsirannya datang dari iman. Sebenarnya, makhluk Allah yang bergelar manusia ini mampu mengawal apa yang difikirkannya. Tidak seperti seekor kera yang tidak mampu memikirkan bunga itu adalah cantik. Tidak seperti seekor ayam yang tidak mampu memikirkan kanak-kanak kampung yang datang kepadanya sebenarnya hanya ingin bermain.Dalam arus kemodenan ini, kita melihat berbagai-bagai ragam manusia. Ada yang menonjolkan diri dengan berpakaian menarik. Ada yang menampilkan diri dengan suara merdu. Mereka datang sebagai ilusi kepada pancaindera kita.


Fikirkan seorang lelaki terlihat wanita yang berpakaian separuh telanjang dan terlihat kulitnya yang cantik bersih. Ia melihatnya dengan ditemani nafsu syahwat yang bergelora, itulah tafsiran ilusi dari syaitan. Tapi apabila ia segera menundukkan pandangan dan beristighfar, itulah tafsiran ilusi dari iman. Lebih baik lagi jika ia memuji Allah kerana kecantikan ciptaan-Nya.

Fikirkan seorang juri menghakimi wanita yang bernyanyi dengan suaranya yang lunak. Ia mendengar dengan asyik dan terpikat dengan lontaran keduniaan yang dinyanyikan, itulah tafsiran ilusi dari syaitan. Tapi apabila ia berfikir suaranya itu lebih baik disimpan untuk menyuarakan wahyu Allah yang dinuzulkan, itulah tafsiran dari iman. Lebih baik lagi jika ia memuji Allah kerana abstrak suara yang didengarinya itu.

Aku pernah mengikuti jemaah tabligh sewaktu zaman universiti dahulu. Setiap kali mengetuk pintu rumah untuk diajak ke masjid, aku akan mendengar amir jemaah menjelaskan 3 cara mensyukuri nikmat Allah. Pertama dengan pancaindera, dengan melihat bentangan cakerawala alam yang dipentas untuk kita, mendengar keindahan bunyi unggas dan menyuarakan kekaguman dengan ciptaan-Nya itu. Kedua, dengan hati, zikir memuji-muji walau di mana pun kita mengalami apa-apa peristiwa. Ketiga, dengan perbuatan, bersolat lima waktu, membaca dan memahami isi Al-Quran.

Aku bukanlah berniat untuk memandai-mandai mengajarkan ilmuku kerana aku tahu ilmu agamaku langsung tidak setanding kedalaman lopak air di jalan raya, apatah lagi sedalam lautan. Aku cuma ingin berkongsi apa yang aku pelajari dalam hidup seharian agar kita bersama-sama meraih kejayaan di dua tempat, dunia dan akhirat. Lagipun aku faham, ilmu bermanfaat yang aku kongsikan jika diamalkan oleh kenalanku, akan menjadi pendapatan untukku di liang lahad nanti.  Insya-Allah.

Categories:

Leave a Reply