Aku melihat apa yang diperkatakan Rasulullah seolah-olah merujuk kepada zaman ini. Rasulullah bersabda,
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."

Para sahabat bertanya,
"Apakah pada ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"

Baginda menjawab,
"Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di lautan."
Aku menonton video yang baru dikongsi oleh sahabatku tentang umat Islam masakini. Aku tidaklah begitu terkejut melihatnya kerana itu perkara biasa yang aku lihat dan dengar. Aku ingin membuat kesimpulan tentang video itu yang menunjukkan 5 realiti umat Islam zaman sekarang.

Pertama hiburan di mana-mana. Kalau dahulu hiburan hanya tarian gelek sang wanita, masa kini bermacam-macam hiburan telah wujud. Di kaca televisyen, di tanah lapang, di atas jalan raya, malah di tengah kesibukan orang ramai juga ada seperti pertandingan, konsert, ataupun persembahan mengejut. Syukurlah aku tidak begitu teruja melihat semua itu. Sejak zaman nakalku, aku hanya gemar berhibur melalui lagu-lagu di radio dan permainan video. Seumur hidupku, boleh dihitung dengan jari berapa kali aku ke panggung wayang, apatah lagi pergi ke konsert terbuka.

Kedua wanita bertudung bukan kerana Allah. Masakini fesyen tudung telah berkembang. Ada yang jenis tudung labuh, tudung biasa, tudung berlapis-lapis. Aku pernah melihat seorang wanita memakai tudung tetapi berbaju tanpa lengan di depan mata menggendong seorang anak.  Dalam soal kekeluargaan, aku lebih gemar wanita yang menutup aurat sempurna menjadi isteriku. Kalau boleh, biarlah menutup aurat seperti wanita Arab yang berjubah hitam yang hanya terlihat dua biji matanya. Aku pernah terbaca kata-kata Rasulullah yang mengatakan di akhir zaman nanti, wanita akan bertudung dan berjalan seperti bonggol-bonggol unta. Aku benar-benar faham dengan maksud kata-kata Rasulullah itu. Aku tidak pernah menegur rakan-rakanku agar bertudung tetapi orang lain pernah. Antara yang selalu aku dengar jawapan mereka adalah, "Itu urusan aku dengan tuhan" atau "Suatu hari nanti tuhan akan bagi hidayah juga supaya aku bertudung". Bukankah hidayah Allah itu berbagai bentuk? Tidakkah kita terfikir, hati kita yang terbuka untuk menegur, dan telinga kita yang sudi menahan pedasnya kata itu juga hidayah Allah? Urusan itu bukan urusan mereka sahaja, tetapi juga urusan sesama orang Islam. Selepas kita habis dihisab dan dosa kita lebih ringan dari amalan soleh, suatu mahkamah awam akan dibuka kepada orang ramai yang menuntut amanah dengan kita yang mana setiap satu amanah yang tidak tertunai adalah sangat berat dibandingkan dengan dosa yang telah ada di neraca Mizan itu. Teguran itu adalah amanah bagi umat Islam, menegah kemungkaran itu adalah wajib.

Ketiga zina berleluasa. Ramai orang mengatakan, itu salah satu cara membuktikan cinta suci mereka berdasarkan media dan kenyataan yang aku baca. Sedikit daripada mereka mengatakan itu salah satu daripada rekreasi dan riadah mereka. Ingatlah, di saat kemaluan lelaki itu memasuki kemaluan perempuan yang ajnabi bagi mereka, di saat itulah iman kita ditarik keluar. Tanpa iman bagaimanakah kita menghadap pengadilan Allah nanti?

Keempat, pemuda Islam lemah. Pada masa dahulu, pemuda Islam ditakuti kerana kegagahannya. Mereka gagah menangkis serangan fizikal dan mental. Bahkan perang Badar yang berlaku di bulan Ramadhan, pemuda Islam lebih kuat berjuang di medan jihad. Pada zaman sekarang, mungkin tewas kepada panggilan nafsu itu biasa, tapi bagaimana dengan bantuan yang sepatutnya kita beri kepada saudara kita yang tertindas oleh rejim-rejim khianat di benua lain? Pada pandanganku, aku baru melihat kelemahan itu sewaktu di bazaar Ramadhan, seorang lelaki tua yang cukup sifat meminta sedekah secara berdiri di manusia. Jika dibandingkan, aku pernah melihat seorang lelaki tua yang lebih kurus memikul guni terbongkok-bongkok mengumpul tin dan botol untuk dijual. Aku pernah melihat seorang wanita yang sangat tua menjadi tukang cuci di sebuah restoran.

Kelima sikap tidak kisah. Aku kecewa bila aku merajuk tetapi tiada sesiapapun yang peduli. Tapi tidak kisah dengan kemungkaran yang berleluasa itu lebih mengecewakan. Malah akan lebih kecewa bila kita dihisab nanti. Apa perasaan Rasulullah jika dia sendiri melihat sikap kita yang tidak peduli dengan orang lain yang mana di masa sakaratul maut melanda tidak ada yang baginda risaukan lebih dari umatnya?

Ini adalah video ulasan di atas. Sama-samalah kita bukakan hati untuk menonton dan menghayatinya. ( Sila matikan pemain mp3 di bahagian bawah sebelum menonton video.)


Apa yang kita baca dan lihat, kita ambil, amalkan dan sebarkanlah. Itu yang diajarkan oleh sahabat-sahabatku yang terdiri daripada jemaah tabligh University Malaysia Sabah.

Categories:

2 Responses so far.

  1. Zurina J. says:

    Nice! Semoga istiqomah ya saudaraku...:)

Leave a Reply