Bagi orang-orang kebanyakan, suatu makanan yang kotor tidak akan dipandang. Bagi sang pengemis, memperolehi secebis ayam goreng yang telah dimamah dari tong sampah merupakan satu rahmat. Bagi orang-orang kebanyakan, butiran nasi yang tidak habis akan dibuang tanpa rasa rugi. Bagi sang pengemis, menjamah sekepal nasi begitu nikmat sehingga enggan berkumur-kumur membasuh mulut. Khuatir rasa nasi itu akan hilang dari lidahnya.


Sehari lepas aku membeli juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan Persiaran Galaksi. Aku membeli sebungkus nasi kukus berlaukkan ayam goreng rempah yang berharga RM4.50 dan sepotong ikan pari bakar yang berharga RM10. Di Sabah, ikan pari seperti itu hanya berharga lebih kurang RM5 namun aku tidaklah begitu terkejut memandangkan aku memang begitu serasi dengan pasaran ikan di Asia. Itulah yang aku pelajari sewaktu di Universiti Malaysia Sabah. Para pelajar Akuakultur didedahkan dengan pasaran ikan di beberapa negara termasuk Malaysia, Jepun, Indonesia, Hong Kong dan lain lain lagi. Ilmu yang diberi oleh Professor Senoo Shigeharu itu sangat penting dalam industri penternakan ikan.

Walaupun bagi sesetengah orang, harga ikan bakar itu begitu mahal, ia adalah makanan biasa bagiku. Aku bukanlah dari kalangan orang yang berada, jauh sekali tergolong dalam orang-orang kaya harta. Tetapi keluargaku sering menikmati makanan semahal itu. Bukanlah kami sekeluarga ingin berlagak seperti orang yang tinggi pendapatannya, tetapi ayahku ingin memberi rasa kepada anak-anaknya tentang erti hidup senang. Bukanlah untuk menafikan kedaifan hidup kami, tetapi sebagai suatu dorongan untuk lebih berjaya. Walaupun ayahku bersusah payah mendapatkan wang, berhutang sana sini, namun makan minum kami sekeluarga tetap terjaga. Dia tidak mampu memberikan mahligai indah, tetapi berusaha untuk mampu membeli kenderaan. Dia tidak mampu memberikan emas permata, tetapi berusaha untuk mampu memberikan pakaian yang indah-indah kepada kami.

Aku menjamah ikan pari itu sambil teringatkan ayahku. Aku menjamah ikan pari itu sambil teringatkan puas sang pengemis. Aku terfikir seketika, apakah rasanya puas sang pengemis. Aku tahu terjemahannya ke bahasa tulisan, namun aku tidak mengerti terjemahan dalam kamus jiwa. Itulah nikmat yang Allah berikan kepada sang pengemis sebagai penawar kepada keperitan hidupnya. Mereka akan mudah berpuas hati dan mensyukuri atas nikmat yang bagi orang kebanyakan suatu perkara yang malu untuk dibanggakan. Segenggam nasi adalah jamuan mereka. Kotak-kotak terhurai adalah tilam empuk mereka. Kicauan burung adalah muzik mereka. Inilah puas sang pengemis, yang tidak sekali-kali akan terbelenggu dengan kekurangan harta benda.

Categories: ,

3 Responses so far.

  1. Fadzmie says:

    Membeli dan menjamah makanan sambil beringat kepada Allah, dan mereka yang memerlukan memang dapat membantu kita mengelakkan diri dari sifat pembaziran. ;)

    p/s: singgah sini n followed u, Wasaber! ;)

  2. TiQa cHaN says:

    post yg bagus~ :)))
    Follow sy blk~
    http://tiqachan.blogspot.com/

Leave a Reply